mutakhir

10,000 sukarelawan bantu mangsa banjir

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Lebih 10,000 sukarelawan digerakkan di seluruh Pahang bagi membantu mangsa banjir yang terkesan dengan bencana itu setakat ini.

Sukarelawan itu membabitkan ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP), Majlis Pembangunan Wanita Negeri Pahang (MPWNP), Sukarelawan Tunas Warisan (STW).

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, selain itu, bantuan turut dihulurkan ahli UMNO Bahagian termasuk Wanita, Pemuda dan Puteri.

"Sukarelawan turut bekerjasama dengan jabatan dan agensi penyelamat dalam usaha memindahkan mangsa banjir ke pusat pemindahan sementara (PPS) serta menghulurkan sumbangan berupa barangan keperluan harian.

"Sejak banjir melanda negeri ini dua hari lalu, lebih 10,000 sukarelawan kita di negeri ini telah digerakkan dan setakat ini, saya berpuas hati dengan usaha ini.

"Bantuan ini dapat meringankan lagi usaha yang dilaksanakan oleh jabatan dan agensi kerajaan di bawah penyelarasan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di daerah yang terbabit banjir," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Wan Rosdy berkata, beliau sudah mengarahkan kaedah bantuan yang dihulurkan dipertingkatkan untuk memastikan rakyat yang terkesan bencana banjir yang luar biasa berlaku kali ini.

"Mangsa banjir dapat dibantu sehabis baik termasuk dalam tempoh pasca banjir kelak, InsyaAllah," katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua yang terbabit dalam bencana banjir termasuk mangsa sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membendung penularan wabak pandemik Covid-19.

Setakat 9 pagi ini, seramai 17,129 mangsa daripada 4,398 keluarga kini berada di 243 PPS di 10 daerah di Pahang.

tamat

From: Asrol

Disiarkan pada: January 5, 2021 @ 11:11am
d