mutakhir

Pusat refleksologi tawar mandi buih berahi RM190

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Bukan sekadar pusat urut biasa sebaliknya premis di Jalan Kepong di sini, turut menawarkan khidmat mandi buih bertemankan pelacur Vietnam dan Thailand.

Pakej mandi istimewa terbabit ditawarkan pusat maksiat itu yang berselindung di sebalik pusat refleksologi kaki.

Kegiatan itu terbongkar yang membawa kepada serbuan sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada 11 malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff berkata, hasil serbuan pihaknya menahan enam wanita warga asing yang bekerja di pusat urut berkenaan.

"Siasatan mendapati premis berkenaan menawarkan khidmat seks kepada pelanggan pada RM190.

"Pelanggan juga boleh memilih wanita Thailand dan Vietnam di ruang menunggu yang disediakan pemilik premis," katanya yang ditemui selepas tamat operasi itu.

Saiful Annuar berkata, dalam serbuan berasingan pihaknya turut menahan dua wanita yang turut menawarkan khidmat seks kepada pelanggan.

Menurutnya semua individu yang ditahan dibawa IPK Kuala Lumpur untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Akta Imigresen 1959/63.

Disiarkan pada: January 5, 2021 @ 12:39pm
d