mutakhir

Anggota polis cedera dilanggar pesara

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Anggota polis cedera selepas dilanggar kereta dipandu pesara di Jalan Thean Teik di sini, semalam.

Difahamkan, pesara berusia 55 tahun itu bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang berkhidmat antara 2008 dan 2013, serta kini menjadi pembantu khas kepada seorang Ahli Parlimen Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, mangsa yang juga lans koperal berusia 27 tahun cedera di dahi dan tapak tangan kiri, masih dirawat di Hospital Pulau Piang.

Katanya, insiden berlaku pada 11.30 malam ketika mangsa yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, menunggang motosikal sebelum dirempuh Toyota Camry dipandu pesara itu.

Dalam siasatan awal, pemandu berkenaan yang memandu di lorong tengah menghala Balik Pulau dikatakan hilang kawalan apabila penunggang motosikal lain tiba-tiba memasuki laluannya berhampiran persimpangan di hadapan pasar raya besar.

"Terkejut dengan tindakan penunggang itu, pemandu berkenaan cuba mengelak, namun melanggar mangsa yang berada di laluan kiri.

"Pelanggaran menyebabkan mangsa cedera, manakala pemandu kereta tidak cedera," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kejadian itu turut tular di media sosial yang mendakwa pemandu kereta terbabit dipercayai memandu dalam keadaan mabuk.

Disiarkan pada: January 5, 2021 @ 1:07pm
d