mutakhir

Mohon tubuh RCI siasat kartel daging haram [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Parti Amanah Negara (Amanah) memohon Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi melakukan siasatan menyeluruh terhadap pihak yang terbabit dalam menguruskan kartel daging haram yang diedarkan dalam pasaran di negara ini.

Timbalan Presiden Amanah Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, tindakan itu penting bagi membolehkan siasatan terperinci dilakukan berhubung isu itu yang sudah 'bertapak' di negara ini lebih 40 tahun lalu.

"Pada pagi ini, saya mewakili umat Islam di seluruh negara menyerahkan memorandum kepada Kolonel (B) Datuk Nazim Mohd Alim iaitu Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi memohon Baginda menubuhkan RCI dengan segera untuk menyiasat perkara ini.

"Saya mohon limpah kurnia supaya Baginda memilih tokoh-tokoh yang dirasakan berhak untuk menganggotai RCI yang bakal ditubuhkan nanti selain baginda sendiri mengetuai suruhanjaya itu supaya isu itu dapat didedahkan kepada umum serta mereka yang terbabit diheret ke muka pengadilan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan memorandum berkenaan kepada Nazim di hadapan Pintu 3 Istana Negara, di sini, kira-kira 11 pagi tadi.

Salahuddin berkata, sebagai bekas Menteri Pertanian, beliau rasa ada tanggungjawab dan tersentuh berkaitan isu berkenaan.

"Saya bersedia menawarkan diri sekirayanya RCI ditubuhkan untuk memberi keterangan memandangkan antara kewajiban Kementerian Pertanian (MOA) pada waktu itu adalah meluluskan permit import kepada setiap rumah sembelihan di negara yang kita import daging halal untuk rakyat.

"Pada masa sama, saya akan menulis surat kepada baginda yang akan diserahkan kepada penyimpan mohor besar raja-raja Melayu supaya perkara ini dapat dimasukkan sebagai agenda mesyuarat raja-raja nanti," katanya.

Beliau berkata, pelan tindakan yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) baru-baru ini dilihat tidak cukup bagi mengatasi masalah itu.

"Pelan itu tidak cukup kerana JAKIM hanya merangkumi satu 'juzuk.' Berdasarkan pengalaman saya sebagai menteri, ada tiga pihak yang akan pergi ke rumah-rumah sembelihan daging import selain JAKIM iaitu MOA diwakili Jabatan Veterinar dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Kami (MOA) pernah cuba menambah bilangan wakil seperti wakil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan industri halal selaku pemantau bagi proses berkenaan, namun tidak sempat melaksanakannya selepas kerajaan jatuh," katanya.

Katanya, ramai pihak yang terbabit melakukan tindakan serta siasatan dalam isu berkenaan, namun usaha itu dilihat tidak mencukupi.

"Disebabkan itu, kita perlu penubuhan RCI sebab banyak isu berbangkit memandangkan permasalahan ini juga berprofil tinggi," katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed percaya, kegiatan kartel daging import yang menggunakan label halal palsu itu membabitkan rangkaian luas serta didalangi sindiket dalam dan luar negara.

Setakat ini, polis menerima 13 laporan daripada orang awam di seluruh negara yang gusar dengan kemunculan isu berkenaan.

Disiarkan pada: January 5, 2021 @ 2:04pm
d