mutakhir

Ahli perniagaan dilaporkan hilang

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Petaling Jaya: Ahli perniagaan dilaporkan hilang selepas keluar menaiki kereta milik pelanggannya di sebuah pusat servis kenderaan di Kampung Kayu Ara, Damansara, di sini, pada 31 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kehilangan Loh Sin Kan, 70, disedari anaknya, Loh Kwai Yee, 44, selepas mendapati ayahnya masih belum pulang ke rumah jam 9 malam.

"Pengadu dimaklumkan oleh adiknya yang menerima mesej daripada sebuah bank memaklumkan terdapat dua transaksi kad kredit milik bapanya.

"Isteri mangsa serta pengadu cuba menghubungi lelaki terbabit, namun dia gagal dihubungi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, pengadu kemudian menghubungi pekerja bapanya yang memaklumkan bahawa mangsa ada pergi ke tempat kerja.

"Namun, mangsa keluar menaiki sebuah kereta jenis Volvo milik pelanggannya dan tidak pulang ke pejabat mahupun rumahnya sehingga kini," katanya.

Beliau berkata, kali terakhir mangsa dilihat memakai baju kemeja bercorak petak dan seluar berwarna hitam.

"Orang ramai mempunyai maklumat berhubung mangsa boleh menghubungi balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut," katanya.

Disiarkan pada: January 5, 2021 @ 4:04pm
d