mutakhir

Rumah ranap sekelip mata [METROTV]

Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: "Tiga jam selepas keluar tengah malam tadi, berlaku runtuhan tanah seterusnya meranapkan kediaman kami," kata Suhaimi Yunus, 51.

Pada kejadian jam 12.30 malam tadi, dua unit rumah berkembar di Taman Gambang Damai di sini, ranap selepas ia runtuh dipercayai akibat pergerakan tanah di cerun bukit.

Menurut Suhaimi, terdahulu, pada petang semalam, jubin pada kabinet dapur kediamannya tertanggal sebelum mereka sekeluarga keluar daripada kediaman akibat bimbang berlaku perkara tidak diingini.

Katanya, dengan bantuan rakan, dia berjaya mendapatkan rumah sewa yang terletak di Taman Gambang Damai Satu, tidak jauh daripada kediamannya itu.

"Malam tadi, kami dibantu 20 jiran memindahkan sebahagian barangan seperti peti sejuk, mesin basuh dan beberapa peralatan lain. Kami bercadang untuk menyambung kerja memindah pagi ini.

"Namun sekelip mata rumah yang kami huni sejak empat tahun lalu ranap. Kerugian dianggarkan lebih RM400,000," katanya ditemui di lokasi hari ini.

Suhaimi yang juga pensyarah di Kolej Matrikulasi Pahang di sini, berkata, walaupun kehilangan harta benda namun dia tetap bersyukur keluarganya selamat.

"Saya tidak dapat bayangkan apa yang akan terjadi sekiranya kami sekeluarga berada dalam rumah ketika runtuhan tanah berlaku.

"Kegembiraan berteduh di rumah yang selesa kini hanya tinggal kenangan," katanya.Suhaimi turut berharap nasibnya sekeluarga mendapat pembelaan pihak berkuasa.

Disiarkan pada: January 5, 2021 @ 4:08pm
d