mutakhir

Rumah jiran ranap dalam 5 minit

Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: "Saya lihat rumah jiran bergerak perlahan-lahan sebelum runtuh menyembah bumi kira-kira lima minit kemudian," kata Roslina Ahmad Said, 37.

Menurut Roslina, terdahulu, pada jam 3.30 pagi itu, penduduk di Lorong 29, Taman Gambang Damai itu, terdengar bunyi runtuhan sebelum keluar untuk melihat apa yang berlaku.

"Saya terjaga daripada tidur selepas terdengar bunyi seolah-olah simen pecah. Bunyi itu datang daripada dua rumah yang terletak beberapa meter daripada rumah saya.

"Saya lihat dua rumah itu bergerak sebelum ranap," katanya di temui di lokasi hari ini.

Menurut Roslina, kebanyakan rumah di Lorong 29 mengalami retak terutama di lantai depan selain dinding dan ia berlaku sejak beberapa bulan lalu.

"Mungkin banjir besar yang berlaku di kawasan ini kelmarin menyebabkan berlaku pergerakan tanah, mungkin terdapat aliran air bawah tanah.

"Rumah saya kini tidak lagi selamat untuk diduduki berikutan tiangnya patah selain ada banyak retakan. Pihak berkuasa juga sudah arahkan saya supaya berpindah," katanya yang juga guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lepar Hilir di sini.

Tinjauan mendapati, pihak berkuasa seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat kawalan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Anggota bomba dan kakitangan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) turut membantu penduduk yang diminta untuk mengosongkan kediaman memindahkan barangan mereka.

Disiarkan pada: January 5, 2021 @ 4:28pm
d