mutakhir

Mangsa banjir Perak berkurangan

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Bilangan mangsa banjir di Perak menurun kepada 630 mangsa daripada 177 keluarga setakat 1 tengah hari tadi berbanding 1,237 mangsa daripada 287 keluarga setakat 8 pagi, hari ini.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perak berkata, penurunan angka berkenaan menjadikan enam Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ditutup iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Balun; PPS Slim Permai (Pejabat KEMAS) dan Slim Village di daerah Muallim.

Turut ditutup PPS Dewan Orang Ramai (DOR) Kampung Tok Sirat, Sungai Siput dalam daerah Kuala Kangsar; selain Dewan Kampung Tanjung Keramat di daerah Hilir Perak serta DOR Kampung Batu di Daerah Kampar.

Penutupan enam PPS terbabit menjadikan hanya tujuh PPS masih dibuka di Perak setakat ini.

Katanya, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Langkap, Langkap di daerah Hilir Perak mencatatkan angka tertinggi iaitu 230 mangsa membabitkan 62 keluarga, disusuli PPS Dewan Serbaguna Chikus dalam daerah sama iaitu 133 mangsa daripada 35 keluarga.

"Seterusnya adalah PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) juga di daerah Hilir Perak iaitu 103 mangsa daripada 33 keluarga; kemudian PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Slim di daerah Muallim membabitkan 82 mangsa daripada 19 keluarga.

"Ia disusuli PPS SK Sri Langkap di daerah Hilir Perak membabitkan 49 mangsa daripada 16 keluarga, serta dua PPS di daerah Kampar iaitu Dewan Serbaguna Dato' Azman Mahalan, Kuala Dipang dan Dewan Bandaran Gopeng, masing-masing membabitkan 26 mangsa dari 11 keluarga serta tujuh bangsa dari satu keluarga," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Secara keseluruhannya, angka mangsa tertinggi dicatatkan di daerah Hilir Perak iaitu 515 mangsa daripada 146 keluarga.

Disiarkan pada: January 5, 2021 @ 4:38pm
d