mutakhir

3 pesakit naik bot 40 minit sebelum ke Hospital Jerantut

Oleh Roselan Ab Malek

Jerantut: Tiga pesakit dari Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak (PPPTR) terpaksa menaiki bot sejauh hampir tiga kilometer selama kira-kira 40 minit kerana terputus hubungan apabila Simpang Jengka 8 ke pusat pertanian itu dinaiki air sedalam kira-kira tiga meter.

Banjir di lokasi itu menyebabkan kira kira 3,000 penduduk di Felda Sungai Tekam dan PPPTR terputus hubungan selepas tidak dapat keluar kerana jalan utama di Simpang Jengka Lapan dinaiki air.

Jururawat desa PPPTR Norlia Madon yang membawa pesakit itu berkata, pihaknya perlu membawa ketiga-tiga pesakit membabitkan seorang ibu mengandung, pesakit buah pinggang yang memerlukan rawatan hemodialisis dan warga emas berumur 92 tahun untuk rawatan.

Menurut Norlia, ketiga-tiganya dirujuk ke Hospital Jerantut untuk rawatan susulan bagi mengelak kejadian tidak diingini jika mereka terus menetap di Pusat Perpindahan Sementara (PPS) di PPPTR selepas kediaman mereka dinaiki air.

"Arus agak deras dan bot tidak boleh dikemudi dengan laju. Sejurus tiba di Simpang Jengka 8, kami perlu menunggu ambulans dari Jerantut untuk membawa pesakit ke hospital berkenaan," katanya yang turut ditemani rakan setugas, Norazira Mohd Nordin.

Sementara itu, Mansor Abdullah, 92, berkata dia tinggal berseorangan di rumah apabila paras air mula naik.

"Syukur apabila jiran membawa saya ke PPS semalam, dan hari ini, jururawat membawa saya ke Hospital Jerantut.

"Saya berterima kasih kepada jiran selain jururawat yang mengambil berat tentang keadaan saya," katanya.

Disiarkan pada: January 5, 2021 @ 4:55pm
d