mutakhir

Lebih 500 mangsa banjir di Lipis terima sumbangan

Oleh Suliati Asri

Lipis: Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar 1 Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad menyerahkan bantuan kepada lebih 500 Ketua Isi Rumah (KIR) yang menjadi mangsa banjir yang kini di tempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), di sini, semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lipis berkata, bantuan diberikan berupa bekalan makanan bernilai RM100 termasuklah beras, minyak masak, tepung, susu, sardin, gula dan barangan keperluan lain.

"Banjir kali ini agak teruk dan membabitkan kawasan yang besar berbanding tahun sebelum ini selain mengakibatkan banyak jalan terputus hubungan.

"Hal ini juga memberi kesukaran kepada pasukan untuk menyampaikan bantuan selain terpaksa menggunakan kenderaan pacuan empat roda (4X4) serta logistik daripada agensi kerajaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Anggota Pertahanan Malaysia (APM) untuk menyalurkan bantuan," katanya.

Menurutnya, sebaik mengetahui terdapat banyak kampung dan kawasan yang terjejas, pihaknya terus menghantar pasukan dari Parlimen Lipis untuk gerakkan.

"Kali ini, daripada tiga Dewan Undangan Negeri (Dun) yang terkesan iaitu Dun Padang Tengku, Dun Cheka dan Dun Benta yang juga paling teruk terjejas.

"Jalan yang di sekitar Pekan Lipis juga terjejas teruk sekali gus memutuskan hubungan beberapa kawasan. Pusat Bantuan juga terjejas dan terpaksa di pindahkan sekali gus menyukarkan bantuan disampaikan. Namun, keadaan masih terkawal," katanya.

Selain sumbangan Abdul Rahman sendiri, misi bantuan ini juga menerima beberapa sumbangan dari Kementerian termasuklah Kementerian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) , badan bukan kerajaan (NGO) dan juga individu persendirian.

"Kita juga dapat kerjasama yang baik dari Pejabat Daerah. Agensi kerajaan yang lain juga memainkan peranan yang baik dalam membantu mangsa.

"Alhamdulillah, banyak pihak yang menghulurkan bantuan dan kerjasama semua pihak memudahkan bantuan disampaikan dan memastikan bangsa banjir mendapat bantuan.

"Banjir kali ini agar teruk berbanding sebelum ini yang menyebabkan banyak jalan-jalan utama tidak dapat di lepasi dan perkara ini secara tidak langsung menyukarkan kami untuk mengagihkan bantuan.

"Untuk fasa pertama bantuan, kita fokus kepada mereka yang menjadi mangsa dahulu dan apabila semua mangsa sudah mendapat bantuan, kita akan fokus kepada fasa kedua pula iaitu mereka yang terputus hubungan.

"Justeru, saya berharap semua mangsa termasuk mereka yang terputus hubungan dan terkepung bersabar. Kita akan memastikan semua dapat dibantu," katanya.

Sehingga jam 3 petang semalam, sebanyak 794 keluarga yang terjejas dengan jumlah mangsa 2,968 orang yang ditempatkan di 46 Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Disiarkan pada: January 5, 2021 @ 6:57pm
d