mutakhir

Arus deras sukarkan SAR mangsa hilang

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kuala Krai: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) Mohd Faqif Mat Using, 27, yang hilang di kawasan air terjun Kampung Lata Golok, Chenulang, di sini, pada Jumaat lalu, berdepan kesukaran berikutan keadaan aliran sungai sangat deras.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Muhammad Rizwan Ar-Rafee Parsimin berkata, operasi SAR yang disambung pagi ini masih belum menemui mangsa hilang itu.

Katanya, usaha pencarian hari ini membabitkan 48 anggota termasuk anggota dari BBP Sungai Durian dan BBP Kuala Krai yang turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), orang awam serta dua anjing pengesan dari Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

"Operasi SAR memasuki hari kedua diperluaskan sehingga lima kilometer di sepanjang sungai dari lokasi pakaian mangsa yang ditemui di jalan trek sepanjang sungai, namun tidak ada sebarang kesan dijumpai.

"Keadaan air sungai deras menyukarkan unit K9 untuk menghantar anjing ke seberang sungai dan operasi ditangguhkan pada 5 petang hari ini berikutan hujan lebat," katanya ketika dihubungi, di sini.

Beliau berkata, selepas operasi ditamatkan, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan ternampak objek seperti manusia dibawa arus di Sungai Kuala Pertang.

Menurutnya, disebabkan arus terlalu deras, mereka tidak berjaya menarik objek dilihat itu ke tebing sungai dan dihanyutkan arus.

"Bagaimanapun, saya mengarahkan lima hingga lapan anggota dari BBP Sungai Durian untuk membuat pemantauan 24 jam pada malam ini di jambatan besar Sungai Nal.

"Operasi SAR akan terus disambung pada pagi esok bagi menjejaki objek dilihat itu," katanya.

Portal Harian Metro sebelum ini melaporkan mangsa dilaporkan hilang selepas pergi ke air terjun berkenaan.

Difahamkan, motosikal, selipar dan pakaian milik lelaki terbabit dijumpai di sekitar lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Keluarganya turut membuat pencarian di sekitar kawasan berkenaan, namun tidak menjumpainya sebelum membuat laporan di balai polis berhampiran pada 8 malam Ahad lalu.

Disiarkan pada: January 5, 2021 @ 9:36pm
d