mutakhir

2 PPS di Dungun dibuka semula

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Chukai: Daerah Dungun kembali dilanda banjir dalam tempoh tidak sampai 24 jam apabila dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka semula pada malam tadi.

PPS Dewan Orang Ramai (DOR) Kampung Pasir Raja dan Dewan Serbaguna Kampung Shukor dibuka bagi menempatkan 156 keluarga daripada 49 keluarga.

Tiga PPS iaitu di DOR Kampung Pasir Raja dan Dewan Serbaguna Kampung Shukor serta DOR Kampung Minda sebelum itu ditutup pada 10 pagi semalam selepas seramai 154 mangsa daripada 45 keluarga di daerah berkenaan dibenarkan pulang.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, penambahan itu menjadikan jumlah mangsa banjir di Terengganu meningkat kepada 267 mangsa daripada 76 keluarga yang ditempatkan di lima PPS di Kemaman dan Dungun.

Menurutnya, jumlah mangsa banjir di Kemaman juga menunjukkan sedikit penambahan apabila terdapat 111 mangsa pada pagi ini yang ditempatkan di PPS berbanding hanya 82 mangsa petang semalam.

"Kesemua mangsa daripada 27 keluarga itu ditempatkan di tiga PPS berbanding hanya 19 keluarga ditempatkan di PPS sama petang semalam.

"Keadaan cuaca ketika ini hujan renyai namun adakalanya lebat serta berangin di sebelah pantai," katanya.

Disiarkan pada: January 6, 2021 @ 8:57am
d