mutakhir

Wanita dakwa mahu buang saka

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man meluahkan rasa kecewa terhadap sikap seorang wanita yang membuang sampah ke dalam sungai di Kelantan, sebagaimana video berkenaan tular sejak semalam.

Katanya, dalam usaha kementerian melancarkan kempen menjaga sungai, masih ada segelintir masyarakat yang tidak mempedulikan kebersihan sumber air.

"Pelaku seharusnya insaf dan diharap dapat memohon maaf atas sikap buruk yang ditunjukkan itu.

"Terima kasih kepada yang membuat rakaman," katanya menerusi di Facebook (FB).

Terdahulu, tular video sebuah kereta yang berhenti di atas jambatan sebelum seorang wanita membuang sampah ke dalam sungai menerusi tingkap.

Video berdurasi 20 saat itu tular dan mendapat kecaman daripada netizen yang mengatakan individu berkenaan tiada kesedaran sivik sehingga sanggup membuang sampah secara terbuka ke dalam sungai.

Namun, difahamkan wanita itu ada membuat permohonan maaf atas perbuatannya di FB dan menjelaskan dia baru balik dari Kuala Krai bagi mendapatkan rawatan tradisional.

Wanita itu mendakwa dia diminta oleh perawat tradisional itu supaya membuang barang saka ke dalam sungai.

Disiarkan pada: January 6, 2021 @ 10:30am
d