mutakhir

Jual kereta 'piang' harga RM250 je [METROTV]

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Rawang: Sebuah kereta 'piang' hanya dijual pada harga RM250 sehingga RM500 untuk dileraikan sebelum komponennya dilerai pihak ketiga.

Itu tindakan sindiket curi kenderaan yang mensasarkan kereta penduduk di daerah ini untuk dicuri.

Namun, aktiviti haram itu tidak bertahan lama selepas tiga lelaki berusia 25 hingga 38 tahun ditahan antara 3 Januari hingga semalam di sekitar Rawang.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, penahanan suspek susulan laporan polis dibuat lelaki berusia 40-an selepas Honda Ferio miliknya hilang 5 Oktober lalu.

"Hasil risikan, anggota Balai Polis Rawang menahan suspek pertama di pekan Rawang dan merampas beberapa keping kad Touch 'n Go yang mencurigakan jam 2 pagi, pada 2 Januari lalu.

"Siasatan lanjut membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki di sebuah bengkel haram di flat di Rawang Perdana, jam 5.30 petang ketika sedang meleraikan komponen Honda Ferio," katanya pada sidang media di Balai Polis Rawang hari ini.

Menurut beliau, selain itu, pihaknya turut menemui tiga kereta yang dilaporkan hilang di Rawang, Bukit Sentosa dan Jinjang sebelum ini.

"Kami juga merampas dua kereta yang sudah dikacau ganggu nombor casis dan enjin. Ia dihantar ke Jabatan Forensik untuk pengesahan," katanya.

Menurut beliau, pihaknya kini memburu Muhammad Fazli Subri atau dikenali sebagai Lie, 25, yang berasal dari Kampung Manik Urai Lama, Kelantan yang ada kaitan dengan sindiket terbabit.

Dalam perkembangan lain, polis menahan dua lelaki yang terbabit dalam kes pecah rumah di Taman Seri Selayang, 4 Januari lalu.

Menurut beliau, suspek ditahan di sekitar Selayang kurang 24 jam selepas kejadian dilaporkan kepada polis.

"Mangsa yang berada di luar negara memaklumkan jirannya yang rumahnya dipecah masuk selepas melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

"Pemeriksaan lanjut mendapati, sebuah Proton Saga dan dua motosikal berkuasa tinggi dilarikan suspek selain pelbagai barangan berharga di rumah mangsa," katanya.

Menurut beliau, suspek berusia 35 dan 40 tahun itu memiliki rekod jenayah lampau ditahan bersama kereta dan motosikal yang dilarikan.

"Suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk rumah," katanya.

Disiarkan pada: January 6, 2021 @ 2:28pm
d