mutakhir

Lega, mangsa banjir di Selangor boleh pulang

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang, Bestari Jaya, di sini, yang menempatkan 55 mangsa banjir sejak kelmarin ditutup bermula jam 2 petang tadi.

Pegawai Operasi Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor Muhammad Izzat Haziq Mohd Nazir berkata, ia susulan banjir di kawasan itu didapati surut sepenuhnya.

"Memandangkan banjir surut dan mangsa bencana (banjir) boleh masuk ke rumah, maka PPS (SK Rantau Panjang) ditutup secara rasmi selepas makan tengah hari tadi," katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Izzat Haziq berkata, jumlah mangsa banjir di Hulu Selangor tetap sama membabitkan 13 mangsa daripada tiga keluarga.

"Kesemua mangsa masih ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Alah Batu berikutan penempatan mereka masih terjejas ekoran laluan air keluar di sekitar penempatan.

"Untuk makluman juga, jumlah mangsa banjir di negeri ini seramai 68 orang daripada 20 keluarga," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan memantau dan membuat tindakan susulan mengenai kejadian ini selain menyampaikan maklumat dari semasa ke semasa.

Media melaporkan dua PPS di Hulu Selangor ditutup sepenuhnya susulan banjir surut, semalam.

PPS terbabit ialah Kampung Baru A Hulu Bernam dan Dewan Orang Ramai Kampung Sekolah, Selisik.

Disiarkan pada: January 6, 2021 @ 3:10pm
d