mutakhir

Mangsa banjir di Kelantan naik mendadak

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Mangsa banjir di Kelantan meningkat mendadak kepada 2,254 mangsa sehingga 3 petang, berbanding 390 mangsa pagi tadi.

Kesemua mereka daripada 593 keluarga yang kini ditempatkan di 45 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima jajahan.

Berdasarkan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jeli mencatatkan mangsa paling tinggi iaitu 1,060 orang membabitkan 296 keluarga di 10 PPS.

Kuala Krai mencatatkan 745 mangsa daripada 168 keluarga di 18 PPS, Tanah Merah pula merekodkan 352 mangsa daripada 98 keluarga di 11 PPS.

Selain itu, Gua Musang mencatatkan 76 mangsa daripada 16 keluarga di empat PPS dan Pasir Mas merekodkan 33 mangsa daripada 16 keluarga di dua PPS.

Dalam pada itu, enam sungai utama melepasi paras bahaya iaitu Sungai Galas di Dabong dengan catatan 39.26 meter (m), Sungai Lebir di Tualang (35.58 m); Sungai Kelantan di Tangga Krai (26.25); Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard (16.84); Sungai Golok di Jenob ( 24.24m) dan Sungai Golok di Rantau Panjang mencatatkan 9.68m.

Disiarkan pada: January 6, 2021 @ 3:46pm
d