mutakhir

Tunggu seminggu baru surut

Oleh Adnan Ibrahim

Simpang Renggam: Walaupun Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang menempatkan 163 mangsa sudah ditutup, sebahagian penduduk Kampung Sungai Linau terpaksa menunggu hampir seminggu untuk air di halaman rumah mereka surut sepenuhnya.

Akibat banjir termenung, ada di antara penduduk terpaksa menumpang di rumah sanak saudara sementara menunggu air surut apatah lagi jika bahagian dapur yang terletak di bahagian bawah masih digenangi air.

Seorang penduduk, Kasiran Bajuri,71, berkata ketika banjir Sabtu dan Ahad lalu kediamannya dinaiki air setinggi 1.4 meter.

Katanya, kini walaupun sudah tiga hari berlalu, air yang bergenang di halaman rumah serta bahagian dapur masih setinggi kira-kira 0.4 meter dan ia dijangka memakan masa seminggu untuk surut sepenuhnya.

"Apa yang kami bimbang jika hujan lagi berserta air pasang, maka air di halaman rumah kami tidak akan kering," katanya.

Sementara itu, Rosiah Parto, 55, berkata halaman rumah di Parit 3, Kampung Sungai Linau adalah kawasan yang paling lambat surut serta mudah dinaiki air.

"Walaupun sudah dua hari tidak hujan, keadaan air di halaman rumah masih setinggi 0.5 meter dan ia mengambil masa yang agak lama untuk surut.

"Diharapkan cuaca bertambah baik dan tidak hujan, jika tidak banjir termenung ini lambat surut," katanya.

Disiarkan pada: January 6, 2021 @ 4:25pm
d