mutakhir

Jumlah mangsa banjir di Pahang meningkat 21,922 orang [METROTV]

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Jumlah mangsa banjir di Pahang meningkat kepada 21,922 orang membabitkan 5,858 keluarga di 259 pusat pemindahan sementara (PPS) di sembilan daerah, setakat 5 petang ini.

Berbanding pada 12 tengah hari, hanya seramai 20,100 orang daripada 5,318 keluarga di 252 PPS.

Berdasarkan rekod, sebanyak 47 PPS dibuka di Temerloh, diikuti Maran (41), Lipis (40), Raub (35), Jerantut (35), Kuantan (30), Pekan (15), Bera (sembilan) dan Rompin (tujuh).

Kuantan merekodkan seramai 3,433 mangsa daripada 930 keluarga, diikuti Temerloh (3,810 orang membabitkan 1,040 keluarga) dan Maran (5,404 orang daripada 1,484 keluarga).

Manakala, Rompin pula merekodkan seramai 1,014 daripada 266 keluarga; Bera (518 orang daripada 142 keluarga); Raub (2,182 orang daripada 573 keluarga); Jerantut (2,442 oang daripada 588 keluarga); Lipis (2,551 orang daripada 675 keluarga) dan Pekan (568 orang daripada 160 keluarga).

Laporan infobanjir.water.gov.my pula memaklumkan lapan sungai masih kekal melepasi paras bahaya setakat 5 petang ini.

Sungai terbabit ialah di Sungai Jelai, Jeram Bungor, Lipis; Sungai Pahang di Sungai Yap, Jerantut; Sungai Pahang di Lubuk Pasu, Temerloh dan Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran.

Selain itu, Sungai Kuantan di Jalan Kuantan Pintasan, Kuantan; Sungai Lepar di Jambatan Gelugor, Kuantan serta Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini dan Sungai Pahang di Serambi (Paloh Inai), Pekan.

Sungai Triang di Bera dan Sungai Kuantan di Pasir Kemudi, Kuantan melepasi paras amaran manakala tiga sungai lagi melepasi paras berjaga-jaga iaitu Sungai Jelai di Kuala Medang, Lipis; Sungai Jelai di Bukit Betong, Lipis dan Sungai Belat di Sri Damai, Kuantan.

Disiarkan pada: January 6, 2021 @ 6:51pm
d