mutakhir

20 PPS masih dibuka di Johor

Oleh Nurul Amanina Suhaini

Johor Bahru: Keadaan banjir di Johor bertambah baik apabila tinggal 20 pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka pada pagi ini berbanding 26 PPS di enam daerah, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, jumlah mangsa banjir di negeri itu turut menunjukkan penurunan kepada 2,313 orang daripada 575 keluarga berbanding 3,182 orang daripada 807 keluarga.

Menurutnya, Kota Tinggi masih mencatatkan jumlah mangsa teramai iaitu seramai 1,110 orang daripada 264 keluarga ditempatkan di sembilan PPS seluruh daerah itu.

Katanya, ia menurun berbanding 1,793 orang daripada 451 keluarga yang ditempatkan di PPS berkenaan semalam.

"Kluang juga mencatatkan penurunan jumlha mangsa dengan 685 orang daripada 170 keluarga ditempatkan di tiga PPS, manakala Johor Bahru masih kekal dengan 72 orang daripada 24 keluarga di sebuah PPS.

"Batu Pahat juga menurun dengan hanya 47 orang daripada 12 keluarga ditempatkan di sebuah PPS, namun Mersing meningkat sedikit dengan 310 orang daripada 81 keluarga di empat PPS berbanding 307 orang daripada 82 keluarga semalam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Vidyananthan berkata, Jalan Mawai Lama di Kota Tinggi dan Jalan Haji Suhud, di Johor Bahru pula masih ditutup untuk semua kenderaan.

Disiarkan pada: January 7, 2021 @ 9:01am
d