mutakhir

Kartel daging sejuk beku: Dua pegawai MAQIS direman lima hari [METROTV]

Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Dua pegawai Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor direman lima hari bermula hari ini hingga Isnin depan.

Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Johor Bahru, Nur Izzaty Muhammad Zahari selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor membuat permohonan pagi ini.

Kedua-dua pegawai MAQIS berusia 27 dan 31 tahun itu direman mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 bagi siasatan lanjut.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi berkata, kedua-dua pegawai MAQIS berkenaan ditahan di Pejabat SPRM Johor malam tadi.

"Kedua-dua pegawai MAQIS itu direman bagi membantu siasatan," katanya.

Isnin lalu, seorang pengarah dan tiga pekerja sebuah syarikat pengimport daging sejuk beku di sini, direman empat hari berakhir hari ini.

Kesemua mereka yang direman itu berusia antara 39 hingga 50 tahun.

Empat direman berkenaan membabitkan pengarah, pengarah operasi, kerani syarikat sebuah syarikat pengimport daging sejuk beku serta seorang lagi pengarah syarikat lain.

Bagaimanapun kesemua empat yang direman Isnin lalu itu dilepaskan dengan jaminan RM10,000 setiap seorang.

Media sebelum ini melaporkan mengenai kartel daging import yang dipercayai membawa masuk daging yang diragui status halal.

Disiarkan pada: January 7, 2021 @ 11:52am
d