mutakhir

Bawa bayi berusia 40 hari redah banjir

Oleh Syaherah Mustafa

Rantau Panjang: Seorang ibu bersama bayi berusia 40 hari dari Kampung Kubang Kedepal, di sini, terpaksa dibawa menaiki bot bomba meredah banjir sejauh lebih empat kilometer (km), untuk menyelamatkan diri ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Nadila Zulkifli, 24, mendukung bayi perempuannya, Nurul Solehah Mohd Hafiz, menaiki bot merentasi kawasan sawah dan semak samun yang dinaiki air setinggi tiga hingga empat meter sebelum sampai ke kawasan selamat.

Katanya, turut bersama di dalam bot terbabit ialah ibu bapa dan adik perempuan serta tiga lagi anaknya berusia tiga hingga tujuh tahun yang dibawa berpindah ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi.

"Kami sekeluarga tidak menyangka banjir kali ini lebih besar berbanding gelombang kedua kerana air masuk ke dalam rumah sama seperti bah yang berlaku 2014. Awal pagi tadi, bapa saya menelefon pihak bomba untuk meminta bantuan.

"Alhamdulillah, bayi saya baik-baik sahaja ketika di atas bot bomba malah dalam perjalanan dia hanya tidur sahaja. Sejujurnya, ada rasa risau dan takut namun memberi penuh kepercayaan kepada anggota bomba yang bertugas dan berkemahiran.

"Kami memakai jaket keselamatan yang disediakan pihak bomba dan berbekalkan payung yang dibawa saya melindungi bayi daripada hujan," katanya ketika ditemui selepas diselamatkan oleh anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, di sini, hari ini.

Nadila yang juga seorang suri rumah pulang ke kampung selepas melahirkan bayinya itu, manakala suaminya, Mohd Hafiz Ghazali, 29, berada di Dungun, Terengganu, atas urusan kerja.

"Saya sudah biasa dengan banjir kerana perkarangan rumah kami hampir setiap tahun digenangi bah, namun kali ini fenomena agak besar sehingga memasuki bahagian dalam rumah.

"Memikirkan keselamatan kami sekeluarga serta anak-anak yang masih kecil, bapa tekad mengajak kami ke PPS, tambahan pula, paras air juga menunjukkan trend menaik.

"Kami sekeluarga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua anggota keselamatan yang membantu membawa kami dengan selamat seperti anggota bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM)," katanya.

Seramai tujuh keluarga dari Kampung Kubang Kedepal, di sini, yang diselamatkan anggota keselamatan menaiki bot untuk berpindah ke PPS SK Gual Tinggi.

Disiarkan pada: January 7, 2021 @ 3:44pm
d