mutakhir

Mangsa banjir di Johor terus menurun

Oleh Nurul Amanina Suhaini

Johor Bahru: Jumlah mangsa banjir di Johor mencatatkan penurunan kepada seramai 2,260 orang setakat jam 4 petang ini, sungguhpun cuaca hujan sejak pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata, jumlah itu membabitkan 559 keluarga yang ditempatkan di 21 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam daerah terjejas.

Katanya, Mersing mencatatkan peningkatan apabila sebuah PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Teriang diaktifkan bagi menempatkan 19 orang daripada lima keluarga yang menjadikan keseluruhan seramai 346 orang daripada 90 keluarga ditempatkan di lima PPS di daerah berkenaan.

"Ia berbanding hanya 319 orang daripada 81 keluarga ditempatkan di empat PPS di daerah Mersing, pada jam 12 tengah hari tadi.

"Kota Tinggi masih mencatatkan jumlah mangsa yang paling ramai iaitu 1,048 orang daripada 246 keluarga yang ditempatkan di sembilan PPS, berbanding hanya 1,107 orang daripada 263 keluarga tengah hari tadi.

"Empat daerah lain ialah Kluang seramai 685 orang daripada 170 keluarga ditempatkan di tiga PPS, Johor Bahru 72 orang daripada 24 keluarga ditempatkan di sebuah PPS.

"Batu Pahat 47 orang daripada 12 keluarga ditempatkan di sebuah PPS dan Segamat 89 orang daripada 24 keluarga ditempatkan di dua PPS," katanya dalam kenyataan hari ini.

Vidyananthan berkata, banjir di Johor yang memasuki hari ketujuh menyaksikan Jalan Mawai Lama di Kota Tinggi dan Jalan Haji Suhud, di Johor Bahru masih ditutup.

Disiarkan pada: January 7, 2021 @ 4:39pm
d