mutakhir

Geng Susang samun warga asing tumpas

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Kulim: Tiga lelaki dikenali sebagai Geng Susang yang aktif menyamun warga asing ditahan polis, Selalu lalu.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, serbuan dilakukan Cawangan D9, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim di kawasan Lunas itu berjaya menahan mereka berusia antara 20 hingga 36 tahun.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati, mereka berkait dengan kes samun warga asing dan polis turut merampas sebuah motosikal digunakan ketika kejadian dan dua telefon bimbit mangsa.

"Hasil siasatan, ketua kumpulan ini dipercayai masih bebas dan disyaki terbabit merancang aktiviti jenayah ini," katanya pada sidang media di IPD Kulim, hari ini.

Azhar berkata, dengan tertangkapnya mereka, polis berjaya membongkar kumpulan aktif melakukan jenayah samun terhadap warga asing sama ada di rumah atau tepi jalan.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati, terdapat lebih 10 kes dikenal pasti membabitkan kumpulan berkenaan.

"Kumpulan ini didapati menggunakan hasil daripada aktiviti jenayah samun itu untuk membeli bekalan dadah jenis syabu.

"Berikutan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan sekiranya didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan," katanya.

Azhar berkata, suspek bergerak secara kumpulan pada lewat malam dan akan mensasarkan kediaman diduduki wanita warga asing atau individu warga asing.

Beliau berkata, pihaknya merampas barangan termasuk sebuah motosikal Honda EX5, sebuah topi keledar, dua telefon bimbit dan sehelai baju sejuk.

"Ketua kumpulan ini dikenali dengan nama Susang berusia 27 tahun dan mempunyai lima rekod jenayah lampau membabitkan jenayah samun dan dadah.

"Anggota sindiket lain pula masing-masing mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan samun, pecah rumah, curi dan dadah kerana mereka tidak bekerja," katanya.

Disiarkan pada: January 7, 2021 @ 5:04pm
d