mutakhir

Bayi perlu pembedahan segera, suami isteri rayu bantuan

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Nelayan, Ahmad Kadim Ahmad, 57, dan isteri Wan Norzieyana Ismail, 35, merayu bantuan orang ramai untuk menyelamatkan bayi mereka berusia 38 hari yang mempunyai masalah jantung.

Bayi mereka, Nurjannah Imani dikesan mempunyai masalah ketika berusia tiga hari apabila saluran darah sebesar empat milimeter pada jantung atau dipanggil 'patent ductus arteriosus' (PDA) yang menghubungkan arteri utama iaitu aorta dan arteri pulmonalis.

Selain itu, bayi itu mempunyai masalah palsi pita suara bahagian kiri akibat dilahirkan pra matang.

Wan Norzieyana yang juga tukang masak berkata, sejak dilahirkan bayinya diletakkan dalam inkubator dan belum berpeluang pulang ke rumah.

"Anak saya sudah terlalu lama menderita dan sebagai seorang ibu saya sudah tidak sanggup melihatnya.

"Disebabkan itu, saya merayu sumbangan orang ramai supaya pembedahan dapat dilakukan segera," katanya.

Wan Norzieyana yang berasal dari Terengganu berkata, dia dan suami yang berpendapatan masing-masing RM1,000 tidak mampu membiayai pembedahan berjumlah RM35,000 di Sunway Medical Centre.

"Kami sangat memerlukan sumbangan orang ramai bagi membolehkan Nurjannah menjalani kehidupan normal seperti bayi yang lain.

"Jika pembedahan tidak dilakukan segera, ini akan membahayakan nyawa Nurjannah kerana jantung boleh membengkak dari semasa ke semasa dan mungkin gagal berfungsi jika dibiarkan," katanya.

Nurjannah yang dibawa menerusi penerbangan ehsan Tentera Udara Diraja Malaysia dari Terengganu tiba di Pangkalan Udara Subang jam 7 petang semalam seterusnya dihantar terus ke Sunway Medical Centre.

Orang ramai boleh menyumbang kepada Nurjannah menerusi Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP melalui akaun Maybank 5141 0532 3170.

Sumbangan dengan hendaklah ditulis nama pesakit di belakang cek dan dihantar ke Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan, Media Prima Berhad, Tingkat 4, Anjung Riong, Balai Berita, No. 31, Jalan Riong, 51900, Bangsar, Kuala Lumpur.

Disiarkan pada: January 7, 2021 @ 6:33pm
d