mutakhir

Nenek berpaut 18 jam di atas pokok manggis

Oleh BERNAMA

Raub: "Wan tak fikir apa, kalau Wan mati hari ini, harap yang baiklah untuk Wan."

Itu luahan Razmah Sarip, 74, yang terpaksa berpaut di atas sebatang pokok manggis lebih 18 jam bersama anak perempuannya selepas rumah mereka berhampiran Sungai Kerak, Kuala Gali, di sini, dinaiki air banjir melepasi bumbung rumahnya.

Menceritakan detik cemas berkenaan, wanita terbabit yang mesra disapa 'Wan' berkata, banjir naik secara mendadak dan deras hingga mengakibatkan beberapa struktur rumahnya runtuh.

"Air naik sekitar 1.30 tengah hari Ahad lalu. Kebiasaannya selepas beberapa jam ia akan surut, tetapi kali ini lain, makin lama makin tinggi.

"Hingga air sampai 1 meter, anak bawa Wan keluar, kebetulan kami jumpa pelampung kecil yang hanyut di depan rumah... kami berpaut pelampung sebelum naik ke atas pokok manggis berhampiran.

"Wan terpaksa menahan lapar dan sejuk sepanjang malam, nasib baik anggota keselamatan jumpa kami atas pokok pada 5 pagi," katanya sebak ketika ditemui Bernama di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Muhammad Jabar, di sini, hari ini.

Anaknya, Rosmawati Rasman, 44, berkata rumah yang mereka diami antara empat rumah terletak berdekatan dengan Sungai Kerak dan semuanya ditenggelami air sehingga ada antaranya musnah akibat banjir.

"Rumah kami musnah dan selepas ini perlu mulakan hidup baharu. Sudah tentu sukar kerana saya hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan dan suami bekerja sebagai penoreh getah.

"Sementara ini kami sekeluarga tinggal di PPS dan apabila keadaan semakin reda, kami mungkin dapatkan bantuan ahli keluarga lain atau mereka yang terbabit bagi mendapatkan rumah (membina kembali rumah) untuk berlindung," katanya.

Selain Razmah dan anaknya, terdapat empat lagi mangsa banjir terpaksa berlindung di atas pokok sebelum pasukan keselamatan tiba dan memberi bantuan.

Turut berkongsi detik cemas dilanda banjir, Mohd Azlan Syah Jaamat, 47, dari Kampung Gali Tengah, yang menganggap banjir kali ini satu kejutan bagi penduduk di kampung itu.

Beliau yang kini berlindung di PPS Pusat Kegiatan Kemas Daerah Raub, berkata banjir di kawasan itu adalah yang terburuk sejak 20 tahun lalu,

Katanya, dalam hanya tempoh kurang 30 minit, air dari sungai berdekatan melimpah dan air naik sehingga paras 1.5 meter.

"Tak sempat nak selamatkan apa-apa, sehelai sepinggang. Berpuluh tahun duduk sini, ini banjir terburuk...kawasan kami tak pernah naik air," katanya.

Mangsa yang ditemui turut memuji tindakan pantas dan proaktif agensi terbabit dalam memastikan kebajikan dan kesihatan penghuni di PPS.

Disiarkan pada: January 7, 2021 @ 8:10pm
d