mutakhir

Sekat bekalan elektrik 82 pencawang demi keselamatan

Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menutup sementara bekalan ke 82 pencawang elektrik di Pahang susulan banjir yang melanda beberapa daerah di sini.

Pengurus Besar TNB Negeri Pahang, Datuk Baderul Sham Saad berkata Temerloh mencatat jumlah terbanyak pencawang tutup membabitkan sebanyak 38 diikuti Lipis (23), Jerantut (19) dan Jengka/Maran (2).

Menurutnya, seramai 5,000 pengguna di lima daerah itu terbabit dengan gangguan berkenaan.

"Pencawang elektrik yang dihenti tugas atau ditutup sementara diberikan bekalan sementara melalui set janakuasa mudah alih bagi memastikan pengguna tidak terus tertekan dengan kesulitan berkenaan.

"Kita akan melakukan penyambungan semula bekalan elektrik secara kekal atau sementara hanya selepas air surut sepenuhnya di kawasan terbabit dan keadaan berada dalam selamat semuanya," katanya selepas melawat pencawang TNB di bandar Maran, di sini semalam.

Katanya, TNB sentiasa berusaha memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan dan usaha memulihkan bekalan elektrik yang terputus sentiasa diberi keutamaan.

"Bagaimanapun kita perlu mengambil kira aspek keselamatan pengguna elektrik dan pekerja TNB, kita tidak boleh bertindak secara terburu-buru

"Setakat ini kita menghentikan sementara operasi Kedai Tenaga di Kuala Lipis dan Maran selepas ditenggelami banjir, usaha membersih dua kedai terbabit sedang dilakukan," katanya.

Baderul Sham berkata, pelanggan yang ingin berurusan berkaitan bekalan elektrik dan pembayaran bil dinasihatkan untuk membuat transaksi secara dalam talian melalui aplikasi myTNB atau berhubung dengan TNB Careline di talian 1300 88 5454.

Katanya, bagi memastikan pengurusan banjir berkesan seramai 267 kakitangan TNB terbabit dengan operasi banjir dan Bilik Gerakan TNB Pahang diaktifkan untuk memantau keadaan dan menyalurkan maklumat terkini berkaitan bekalan elektrik, tindakan segera dapat dilakukan apabila maklumat diterima.

Menurutnya, pengguna di kawasan banjir dinasihati sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diminta berpindah dan menghubungi TNB Careline di talian 15454 jika ada pepasangan TNB yang beralih atau tumbang.

"Saya mengingatkan kepada masyarakat supaya sentiasa berhati-hati ketika menggunakan peralatan elektrik jika rumah dan premis mereka dinaiki air, elak menyentuh barangan elektrik atau suis dengan tangan yang basah dan lembap kerana ia boleh menyebabkan renjatan elektrik berlaku.

"Mereka yang mengalami kerosakan sistem pendawaian serta sambungan bekalan elektrik selepas banjir disaran untuk mendapatkan khidmat kontraktor pendawaian yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga bagi memeriksa pendawaian di dalam rumah dan premis perniagaan mereka yang dinaiki air," katanya.

Disiarkan pada: January 8, 2021 @ 12:36pm
d