mutakhir

Kereta buruk jadi stor simpan dadah [METROTV]

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Sindiket penyeludupan dadah menggunakan kenderaan mewah akhirnya tumpas dengan penahanan dua lelaki.

Dua lelaki itu dipercayai hidup mewah dengan pendapatan RM80,000 sebulan hasil jualan dadah dipercayai menggunakan kereta buruk sebagai stor penyimpanan dadah

Mereka ditahan di dua lokasi berasingan sekitar ibu negara pada 4 dan 5 Januari lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, bertindak atas maklumat awam, pada 4 Januari lalu jam 5.40 petang, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Kuala Lumpur menahan seorang lelaki berusia 49 tahun di bahu jalan Kampung Batu Muda, di sini.

"Hasil pemeriksaan dua kenderaan dibawah kawalan suspek, polis berjaya menemui dadah disyaki jenis ganja seberat 14.4 kilogram (kg) dan merampas wang tunai RM1,070.

"Hasil soal siasat jam 6.20 petang, polis ke kawasan semak berhampiran lokasi berkenaan dan memeriksa sebuah kenderaan jenis Daihatsu dan menemui dadah jenis ganja seberat 187.4 kg.

"Seterusnya, hasil soal siasat suspek pertama membawa penahanan rakan kongsinya berusia 36 tahun di Taman Desa Petaling jam 9.53 malam, 5 Januari lalu," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Saiful Azly berkata, hasil soal siasat suspek membawa polis ke kawasan tempat letak kereta sebuah residensi di Jalan Sungai Besi.

"Hasil pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi, polis merampas dadah disyaki jenis ganja seberat 63.7 kg yang dijadikan 'stor' penyimpanan bahan terlarang itu.

"Kita turut menyita tiga kenderaan mewah lain iaitu Toyota Vellfire, Volkswagen Golf dan Perodua Aruz untuk siasatan lanjut," katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek aktif dalam kegiatan pengedaran dadah jenis ganja di sekitar Lembah Klang sejak tiga bulan lalu.

"Dengan tertumpasnya sindiket ini, kita berjaya menyekat bekalan kepada 265,654 penagih sekitar Lembah Klang.

"Nilai rampasan keseluruhan dadah dianggarkan lebih 200 kg bernilai RM667,250 manakala kenderaan dianggarkan RM500,000," katanya.

Tambah beliau, hasil ujian air kencing mendapati suspek berusia 49 tahun positif dadah jenis Benzo dan mempunyai tujuh rekod dadah serta tiga rekod jenayah lampau manakala suspek kedua negatif dan mempunyai dua rekod jenayah lampau.

"Kedua-dua suspek direman masing-masing enam dan tujuh hari bermula 5 hingga 12 Januari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Disiarkan pada: January 8, 2021 @ 2:05pm
d