mutakhir

Masjid jadi pulau, jemaah naik bot untuk solat Jumaat [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

Tumpat: Air yang naik dengan mendadak sejak malam tadi menyebabkan perkarangan Masjid Kubang Sawa, di sini, dipenuhi air mencecah 0.8 meter.

Bagaimanapun solat Jumaat tetap berjalan lancar dan jemaah hadir dengan menaiki bot yang diletakkan di tepi masjid yang sudah kelihatan seperti pulau itu.

Imam Tua masjid, Mohd Saidi Yunos berkata, situasi jemaah hadir menaiki bot sememangnya berlaku setiap tahun kerana kawasan sekitar masjid adalah bendang padi dan sering dipenuhi air pada musim tengkujuh.

"Limpahan air daripada Sungai Golok mula masuk ke kawasan ini sejak pagi semalam lagi namun semakin laju bermula malam tadi.

"Setiap tahun situasi sebegini berlaku dan jika keadaan semakin teruk, ada dua hingga tiga keluarga penduduk akan datang menumpang di masjid ini kerana rumah mereka ditenggelami air," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mohd Saidi berkata, pihak pengurusan tiada masalah menumpangkan mangsa banjir sekitar kampung itu namun penduduk perlu lebih mengutamakan pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding lokasi pemindahan lain kerana ia lebih selesa.

Katanya, untuk banjir kali ini, jika tetap ada yang ingin menumpang masjid itu, dia sudah menyediakan sebuah bangunan yang akan digunakan sebagai kelas pengajian al-Quran sebagai tempat penduduk menumpang sementara menunggu air di kediaman masing-masing surut.

"Bagaimanapun kami lebih menggalakkan penduduk berpindah ke PPS yang ditetapkan kerana lebih selesa dan bantuan mudah disalurkan," katanya.

Jemaah dari Kampung Kubang Sawa, Kamarudin Abu Bakar, 49, berkata, dia sudah menjangkakan bahawa kawasan sekitar masjid itu akan dinaiki air memandangkan limpahan air masih lagi berlaku sehingga kini.

"Saya sudah mengeluarkan bot lebih awal kerana sudah menjangkakan akan berlaku banjir gelombang ketiga dalam masa terdekat berikutan limpahan air daripada Rantau Panjang dan Pasir Mas yang turun ke Tumpat.

"Semua jemaah solat Jumaat hari ini datang dengan bot sama ada menumpang atau milik sendiri kerana majoriti daripada kami memang memiliki bot sendiri yang hanya digunakan setiap kali musim banjir," katanya.

Disiarkan pada: January 8, 2021 @ 4:14pm
d