mutakhir

Rokok lebih RM1.3 juta dirampas

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Polis menahan tiga lelaki dan merampas rokok pelbagai jenama bernilai lebih RM1.3 juta dalam operasi di Nibong Tebal, Pulau Pinang, semalam.

Timbalan Pengarah (Gerakan) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad berkata, bertindak atas maklumat awam pihaknya melakukan serbuan di satu lokasi di Nibong Tebal.

"Operasi dijalankan ke atas sindiket penyeludupan rokok yang aktif di sekitar kawasan utara. Pihak polis berjaya menahan tiga individu tempatan berusia 34 hingga 47 tahun dan merampas 1,770,000 batang rokok pelbagai jenama," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, selain itu pihaknya turut merampas empat van yang dipercayai digunakan untuk mengangkut rokok berkenaan sebelum diedarkan kepada penjual.

"Rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM1.36 juta. Semua individu ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah selama empat hari.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.

Disiarkan pada: January 8, 2021 @ 6:35pm
d