mutakhir

'Tiga hari tak balik rumah nak cekup penjenayah'

Oleh Nur Izzati Mohamad

Butterworth: "Arwah dah lama geram sampai tiga hari tak balik rumah sebab nak bagi dapat jugak tangkap penjenayah tu, tapi siapa sangka ajalnya tiba," kata Talib Aziz.

Talib, 77, adalah bapa mentua kepada Allahyarham Koperal K Mahadir Elis, 38, yang maut dilanggar motosikal ketika melintas jalan raya sewaktu mengejar penjenayah di Jalan Padang Temusu, Sungai Petani, Kedah, hari ini.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, Mahadir meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala manakala suspek dapat melarikan diri.

Talib berkata, menantunya ada memberitahu mahu menangkap penjenayah yang terbabit dengan kes curi kenderaan.

"Sepanjang masa dia bagi tahu nak tangkap sampai dapat sebab terlalu geram hingga tiga hari tak pulang ke rumah, tapi apa boleh buat lain pula yang berlaku.

"Pada mulanya saya tak percaya dia dah tak ada, apatah lagi ikutkan hari ini dia akan pulang ke rumah kerana bercuti. Namun, kini dia pergi bercuti buat selama-lamanya.

"Memang terkejut apabila saya menerima panggilan memaklumkan insiden itu, tapi siapa kita nak menolak takdir Ilahi dan kami sekeluarga reda dengan apa yang berlaku," katanya ketika ditemui di rumahnya di Sungai Dua, di sini, hari ini.

Menurutnya, keperibadian arwah menantunya amat dipuji memandangkan sering mengambil berat hal keluarga apatah lagi seorang bapa penyayang terhadap tiga anaknya walaupun sibuk bertugas menjaga keamanan serta keselamatan negara.

"Arwah sangat sayang dengan anaknya dan ketika bertugas di Kuantan, Pahang dulu sanggup balik dengan menunggang motosikal ke Pulau Pinang demi berjumpa keluarganya.

"Selepas itu, arwah ditukarkan ke Sungai Petani dan terus duduk di sini yang membolehkan dia dapat bersama keluarganya, tetapi Allah lebih sayangkannya," katanya.

Jenazah Mahadir akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Haji Abdul Rashid, Sungai Dua selepas solat Isyak, malam ini.

Difahamkan, ketika ini proses bedah siasat selesai dilaksanakan di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Isteri mangsa, Azlila Talib, 39 dilaporkan berada di HSB bagi menuntut jenazah arwah suaminya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah dilaporkan berkata, pada 3.45 pagi hari ini, mangsa bersama anggota pasukan Task Force Cegah Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda pergi ke Kampung Kepala Bukit, Kampung Sungai Pasir dan menahan tiga lelaki berusia antara 32 hingga 50 tahun untuk membantu siasatan kes samun, curi kenderaan dan pecah rumah.

Beliau berkata, susulan penahanan tiga lelaki itu, mangsa bersama pasukan membuat serbuan ke Padang Temusu pada 7.30 pagi untuk membuat tangkapan terhadap suspek lelaki yang masih bebas.

Katanya, setibanya di lokasi, mangsa ternampak suspek berusia 24 tahun itu sedang membuka tayar motosikal di hadapan rumah berkenaan.

Berita berkaitan

'Tangan arwah sejuk ketika bersalaman'

Ketua Geng Min menyebabkan kematian anggota polis diburu

Anggota polis maut ketika mengejar penjenayah [METROTV]

Disiarkan pada: January 8, 2021 @ 6:59pm
d