mutakhir

Warga emas nyaris dihanyutkan arus kuat banjir

Oleh Syaherah Mustafa

Pasir Mas: Seorang warga emas lelaki berusia 60-an bernasib baik kerana dibantu anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) apabila dia dan motosikal ditunggangnya nyaris dibawa arus banjir di Kampung Meranti, di sini.

Pegawai Operasi SMART, Mejar Shahrul Nizam Jaafar berkata, dalam kejadian jam 5.30 petang itu, beberapa anggota membuat pemantauan sekitar sebelum ternampak warga emas di laluan bertentangan tidak dapat mengawal motosikalnya, lalu dibawa arus ke bahagian tepi jalan.

Katanya, anggota terus memberhentikan kenderaan dan berlari membantu mangsa yang sudah terjatuh di dalam air separas 0.5 meter bersama motosikal ditunggangnya.

"Mangsa dilihat terkejut dengan kejadian itu, selain sukar untuk bangun dari lokasi dia jatuh memandangkan paras air yang tinggi selain agak deras, tambahan pula usianya yang sudah lanjut menyukarkan untuk dia bangun sendiri.

"Alhamdulillah, mangsa selamat dan tidak sempat dibawa arus air hasil tindakan pantas anggota selain turut dibantu beberapa orang awam yang melalui jalan ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Disiarkan pada: January 8, 2021 @ 11:11pm
d