mutakhir

Covid-19: Tenom kini zon merah

Oleh Rafiqah Dahali

Kota Kinabalu: Daerah Tenom semalam bertukar menjadi zon merah apabila merekodkan lebih 40 kes aktif Covid-19 susulan pertambahan jangkitan baharu.

Ia menjadikan 22 zon merah direkodkan di Sabah, setakat ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata sebanyak enam kes baharu dicatatkan di daerah terbabit.

Sementara itu, daerah Kuala Penyu berubah dari zon kuning ke zon jingga manakala, Beluran telah berubah dari zon jingga ke zon kuning.

"Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) jumlah kes positif baharu Covid-19 semalam adalah sebanyak 401 kes, menjadikan jumlah kumulatif

sebanyak 39,854 kes.

"Empat kes kematian direkodkan iaitu dua kes di Sandakan dan dua kes di Kota Kinabalu," katanya dalam satu sidang media secara langsung mengenai perkembangan harian Covid-19 di Sabah, semalam.

Sementara itu, Masidi ketika ditanya pemberita mengenai pendirian Sabah sekiranya akan mengikut jejak langkah Sarawak untuk mengarahkan guru yang kembali ke negeri berkenaan untuk kuarantin, menjelaskan, sebarang perubahan yang diperlukan mengenai perkara itu akan dilakukan sekiranya diperlukan.

"Setakat ini, tiada perubahan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang sedia ada, tetapi kita akan menilai semula situasi harian dan akan membuat sebarang perubahan sekiranya perlu.

"Di Sabah, SOP yang digariskan adalah jika mereka membuat ujian saringan dan keputusan adalah negatif, tak mengapa. Apa yang saya ingin tekankan adalah SOP dan orang ramai harus lebih serius terhadapnya," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 9, 2021 @ 8:28am
    d