mutakhir

11,804 mangsa masih berada di PPS di Terengganu

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Chukai: Mangsa banjir di Terengganu mula menurun kepada 11,804 orang pagi ini, berbanding 13,264 orang petang semalam.

Sehingga jam 8 pagi tadi, kesemua mangsa daripada 3,009 keluarga masih ditempatkan di 53 pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Kemaman, Dungun dan Hulu Terengganu.

Petang semalam, kesemua mangsa yang terdiri daripada 3,364 keluarga dipindahkan ke 53 PPS di daerah sama.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, Kemaman kekal menjadi daerah yang paling teruk terjejas dengan jumlah mangsa seramai 9,424 orang.

Katanya, ia membabitkan 2,340 keluarga di 27 PPS berbanding 11,216 mangsa daripada 2,793 keluarga di 28 PPS.

"Di Dungun, seramai 2,292 mangsa membabitkan 24 keluarga ditempatkan di 24 PPS.

"Dua PPS masih dibuka di Hulu Terengganu bagi menempatkan 88 mangsa daripada 21 keluarga," katanya.

Che Adam berkata, ketika ini cuaca mendung dan ada kalanya hujan di beberapa tempat, manakala paras sungai menunjukkan trend penurunan.

Katanya, hanya dua sungai masih melepasi paras bahaya iaitu Sungai Dungun di Jambatan Dungun yang merekodkan bacaan 13.07 meter (m) dan Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman, yang merekodkan bacaan 5.79 m.

Disiarkan pada: January 9, 2021 @ 9:00am
d