mutakhir

Mangsa banjir di Kelantan menurun 4,415 orang

Oleh Nor Fazlina Abdhl Rahim

Kota Bharu: Cuaca baik sejak kelmarin menyaksikan mangsa banjir di Kelantan berkurangan kepada 4,415 mangsa, berbanding semalam lebih 5,000 mangsa.

Kesemua mangsa banjir berkenaan membabitkan 1,331 keluarga yang ditempatkan di 56 pusat pemindahan sementara (PPS) dari enam daerah yang dilanda banjir.

Berdasarkan Info Bencana JKM sehingga jam 9 pagi ini, Kuala Krai mencatatkan bilangan mangsa paling ramai iaitu 2,245 mangsa daripada 604 keluarga di 26 PPS.

Pasir Mas merekodkan 1,552 mangsa daripada 558 keluarga di 18 PPS, Tanah Merah mencatatkan 384 mangsa daripada 107 keluarga di lapan PPS.

Gua Musang pula merekodkan 149 mangsa daripada 27 keluarga di dua PPS, Jeli menurun kepada 64 mangsa daripada 20 keluarga di satu PPS.

Kota Bharu pula kekal 21 mangsa daripada 15 keluarga di satu PPS.

Disiarkan pada: January 9, 2021 @ 10:00am
d