mutakhir

Wanita Thailand ditemukan lemas

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kuala Krai: Mayat wanita Thailand ditemukan terapung berdekatan Chalet Laloh, di sini, pagi semalam, selepas dilaporkan hilang sejak seminggu lalu.

Mayat Miss Maeyoh Beeru, 59, ditemui orang awam tersangkut di Sungai Rek, Kuala Krai.

Difahamkan, kira-kira jam 5 petang, Sabtu lalu, mangsa menyeberang Sungai Rek untuk balik ke rumahnya di Kebun Setambun yang terletak di seberang sungai.

Mangsa dikatakan baru pulang dari kedai runcit dan dipercayai hanyut dibawa arus deras.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohammad berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung penemuan mayat itu jam 10.05 pagi semalam.

"Seramai lima anggota dari Balai Polis Laloh tiba di lokasi kejadian. Polis membuat pemeriksaan awal dan tidak menjumpai sebarang unsur jenayah.

"Pada jam 12.20 tengah hari, mayat yang dijumpai dikeluarkan dengan bantuan penduduk kampung sebelum dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra untuk pengecaman dan bedah siasat," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan pakar forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Disiarkan pada: January 9, 2021 @ 11:51am
d