mutakhir

Syarikat pembekal daging tuntut RM50 juta [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid

Petaling Jaya: Pengasas syarikat Raihanah Cold Storage Sdn Bhd menuntut ganti rugi RM50 juta dan permohonan maaf daripada pemilik akaun Facebook (FB) Zaharin Mohd Yasin yang didakwa memfitnah mereka berkaitan isu kartel daging import tidak halal.

Tuntutan itu dikemukakan oleh Rahman Sheikh Abdullah, 44, dan isterinya Raihanah Kasim, 42, serta syarikat mereka menerusi peguam Datuk Mohd Haaziq Pillay.

Mereka juga menuntut Zaharin menarik balik kenyataan yang didakwa memfitnah berkaitan isu berkenaan.

Mohd Haaziq berkata, dalam paparan di FB Zaharin bertarikh 25 Disember 2020 yang antara butirannya 'Isu daging tidak halal bukan perbuatan orang bukan Islam. Tetapi dilakukan oleh orang Islam. Syarikat milik orang Islam'.

"Paparan itu turut melampirkan gambar anak guam saya, Rahman dan turut terpapar lampiran dokumen carian Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengenai butiran syarikat Raihanah Cold Storage Sdn Bhd termasuk nama penuh dan nombor MyKad Raihanah.

"Jika saya tak kenal mereka, saya juga akan beranggapan bahawa syarikat ini menjual daging haram. Mereka terima banyak cacian melalui FB dan WhatsApp mereka sendiri seperti bertanyakan ada daging kanggaro tak? Ada daging babi tak dan sebagainya.

"Sedangkan, mereka adalah pemilik syarikat Bumiputera Melayu yang bukan pengimport daging, mereka tidak ada permit import syarikat (AP) untuk import daging. Mereka hanya membekalkan sahaja.

"Pihak yang terbabit dengan kartel penjualan daging haram adalah orang lain. Jika anak guam saya terbabit, mereka tidak boleh ada di sini petang ini," katanya dalam sidang media mengenai perkara itu, di sini, hari ini.

Hadir sama, Rahman dan Raihanah.

Mohd Haaziq berkata, semalam Tetuan J.S Pillay & Mohd Haaziq sudah pun menghantar notis tuntutan komprehensif 20 muka surat kepada Zaharin antaranya terkandung tuntutan fitnah ganti rugi RM50 juta, tarik balik kenyataan itu, permohonan maaf di FB dan akujanji untuk tidak mengulangi kenyataan seumpamanya.

Beliau berkata, pihak Zaharin diberikan tempoh selama lapan hari bermula hari ini untuk menjawab tuntutan itu selain pihaknya merancang membawa kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Sementara itu, Rahman berkata, akibat perbuatan itu bukan sahaja menyebabkan perniagaannya jatuh merudum malah dia sekeluarga diganggu emosi oleh beberapa pihak yang mempercayai kandungan di FB Zaharin.

"Malah anak-anak saya berusia antara 10 hingga 22 tahun diejek seperti 'ayah awak jual daging haram ke?'. Saya turut menerima ugutan bunuh dan laporan polis mengenainya sudah pun dibuat," katanya yang sudah terbabit dalam perniagaan daging selama 23 tahun.

Disiarkan pada: January 9, 2021 @ 5:24pm
d