mutakhir

Sejam tangan tersepit di mesin pengisar baja

Oleh Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Seorang lelaki terpaksa menanggung kesakitan lebih sejam selepas pergelangan tangan kanan tersepit di mesin pengisar baja di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Bukit Minyak, di sini, pagi tadi.

Mangsa warga tempatan berusia 30 tahun pada ketika itu sedang melakukan proses mencuci mesin sebelum insiden di luar jangka berlaku.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Perda bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 10.34 pagi berhubung kejadian terbabit.

"Apabila tiba didapati seorang lelaki mengerang kesakitan selepas pergelangan tangan kanannya tersepit di mesin pengisar ketika dia sedang mengendalikan mesin berkenaan.

"Kerja menyelamat mangsa kemudian dilakukan dengan menggunakan peralatan khas," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, anggota bomba berjaya mengeluarkan tangan mangsa pada jam 11.47 pagi.

"Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk rawatan lanjut," katanya.

Operasi ditamatkan pada jam 12 tengah hari.

Disiarkan pada: January 9, 2021 @ 6:31pm
d