mutakhir

'Perginya' mengejut, hilangnya adik kesayangan [METROTV]

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: "Arwah (Nor Hidayah Mohd Jalan, 40) anak harapan dalam keluarga kerana ketika ini dia yang menjaga bapa yang kurang sihat selepas ibu kami meninggal dunia pada Mac tahun lalu," ujar kakak mangsa, Intan Fairuz Mohd Jalan, 45.

Dalam kejadian jam 1.40 tengahari tadi, mangsa maut sejurus motosikal ditunggang bersama suami terbabit kemalangan di Jalan Senawang-Kuala Pilah berhampiran Sekolah Tinggi Islam As-Sofa Senawang di sini.

Kakak mangsa, Intan Fairuz Mohd Jalan, 45, berkata, arwah dan suami, Mohd Hashim Abdul Rahman, yang tinggal di Taman Sementa, Kapar, Klang, Selangor dalam perjalanan untuk menziarahi ibu mentuanya yang meninggal dunia.

"Saya dimaklumkan, adik saya bersama suaminya dalam perjalanan ke Felda Kepis untuk menziarahi ibu mentuanya yang meninggal dunia.

"Kami terkejut apabila mendapat tahu mereka berdua sebaliknya terbabit dalam kemalangan jalan raya di Senawang. Adik saya meninggal dunia serta merta di lokasi kejadian itu.

"Tidak sangka pertemuan saya dengan arwah di rumahnya pada 28 Disember lalu adalah yang terakhir," katanya ketika ditemui di luar Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban di sini, tadi.

Intan Fairuz yang tinggal di Sikamat, di sini, berkata, sejak akhir-akhir ini terdapat perubahan sikap pada adik perempuannya itu apabila Nor Hidayah tidak memberitahu apabila pergi ke mana-mana berbanding sebelum ini.

"Selalunya arwah akan memberitahu saya lokasi dituju. Malah wajahnya nampak suram kebelakangan ini walaupun dia seorang yang aktif.

"Adik saya itu aktif dalam kumpulan zumba, malah dia adalah jurulatih zumba yang terkenal di sekitar Shah Alam dan Klang kerana memiliki ramai anak murid," katanya yang sedih dengan pemergian arwah.

Menurut Intan, arwah mempunyai empat anak, masing-masing dua lelaki dan perempuan berusia antara 11 hingga 24 tahun.

Dia berkata, jenazah arwah akan mengalami bedah siasat esok (hari ini) dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang, dekat sini.

"Arwah anak harapan dalam keluarga kerana ketika ini dia yang menjaga bapa yang kurang sihat selepas ibu kami meninggal dunia pada Mac tahun lalu," katanya.

Dalam kejadian itu, Nor Hidayah yang membonceng motosikal jenis Yamaha YZ150 yang dibawa suaminya terbabas dan melanggar sebatang pokok.

Akibat daripada itu, mangsa maut di tempat kejadian suaminya yang juga seorang anggota polis berpangkat sarjan cedera parah akibat jatuh ke dalam longkang berdekatan lokasi kejadian.

Berita berkaitan

Dijemput ajal, tak sempat ziarah ibu mentua

Disiarkan pada: January 9, 2021 @ 8:21pm
d