mutakhir

Banjir: Penternak rugi kelah terlepas

Oleh Mohd Rafi Mamat

Raub: "Saya tidak pasti berapa ikan kelah yang masih tinggal dalam kolam selepas banjir berlaku selama beberapa minggu lalu," kata penternak ikan Zamri Othman, 45.

Menurutnya, dua kolam tanah miliknya terletak di Kampung Pamah Rawas, Ulu Dong, di sini dan setiap kolam mempunyai 1,000 ikan kelah yang mencapai berat lima hingga enam kilogram seekor.

Katanya, dia mengusahakan projek ternakan ikan kelah sejak empat tahun lalu.

Menurutnya, walaupun mencapai berat enam kilogram seekor namun dia masih belum bercadang untuk menjualnya sedangkan permintaan sentiasa diterima.

"Saya tidak pasti berapa ekor ikan yang masih tinggal dalam dua kolam terbabit, banjir menyebabkan air kolam melimpah keluar selama beberapa hari.

"Saya hanya mampu melihat kawasan kolam ditenggelami banjir sambil berdoa ikan kelah yang berada dalam kolam tidak terlepas keluar mengikut arus air," katanya, dihubungi di sini, semalam.

Dia berkata, selepas banjir surut dia dan pembantunya cuba mengesan ikan kelah yang masih ada dalam kolam dengan cara menjala, tetapi selepas beberapa kali mencuba hasilnya agak mengecewakan.

Zamri menambah, air kolam yang sebelum ini jernih kini bertukar keruh dan usaha mengesan ikan dalam kolam sukar dilakukan.

Katanya, dalam tempoh empat tahun mengusahakan kolam ikan kelah, sudah banyak modal dikeluarkan terutama untuk menyediakan makanan hidupan itu.

Tambahnya, dia menjangkakan ikan kelah yang mencapai saiz diperlukan akan dipasarkan tahun ini, namun ia tidak menjadi kenyataan kerana ikan bersaiz besar mungkin sudah terlepas mengikut arus banjir.

"Saya reda dengan apa yang berlaku kerana itu sudah ketentuan-Nya... pasti ada hikmah di sebalik musibah berkenaan," katanya.

Disiarkan pada: January 10, 2021 @ 9:07am
d