mutakhir

Jatuh perigi rupanya...

Oleh Ahmad Ismail

Segamat: Suara misteri meminta tolong kedengaran dari sebuah kediaman di Chaah, Labis, di sini, tengah malam tadi membawa kepada penemuan seorang lelaki yang terjatuh ke dalam perigi yang terletak berdekatan dapurnya.

Mangsa, seorang lelaki berusia 45 tahun ditemui berada di dalam perigi itu selepas polis bertindak memecah masuk rumahnya yang terletak di Jalan Yew Chor Chaah, Labis pada 12.56 malam tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Labis, Sharfini Nasar berkata, pihaknya menerima panggilan daripada jiran mangsa yang memaklumkan mereka mendengar suara meminta pertolongan dari rumah itu.

Menurutnya, setibanya di lokasi kejadian anggota polis tiba terlebih dahulu dan mereka terpaksa memecahkan pintu hadapan kediaman mangsa yang berkunci.

"Mereka menggunakan tali untuk membawa mangsa keluar dari perigi itu sebelum ketibaan bomba. Mangsa dipercayai terjatuh ke dalam perigi berlumpur sedalam 3.5 meter.

"Ketika kejadian mangsa hanya berseorangan di rumah dan tidak mengalami sebarang kecederaan. Namun dia kelihatan lemah dan diserahkan kepada ambulans untuk tindakan lanjut. Operasi tamat sepenuhnya pada 1.22 pagi tadi," katanya.

Tambahnya, perigi itu digunakan oleh ahli keluarga mangsa sejak puluhan tahun dahulu.

Disiarkan pada: January 10, 2021 @ 10:50am
d