mutakhir

Wanita memandu melawan arus sudah ditahan [METROTV]

Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Seorang wanita yang memandu secara berbahaya dengan menyongsang arus di Lebuhraya Senai-Desaru (arah Desaru) berhampiran susur keluar Tol Cahaya Baru, dekat sini, Khamis lalu, ditahan polis semalam.

Penahanan itu dibuat selepas video memaparkan wanita itu memandu secara berbahaya tular di media sosial sejak kelmarin dan menerima kecaman warganet.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, wanita berusia 46 tahun itu ditahan selepas hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, semalam, bagi membantu siasatan.

"Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor menerima satu rakaman video berdurasi 48 saat (rakaman dashcam) semalam yang dirakam orang awam, kira-kira 12 tengah hari, selepas ia tular di media sosial.

"Bertindak atas maklumat, JSPT Johor berjaya mengenal pasti butiran kereta berkenaan.

"Kejadian dipercayai berlaku pada 7 Januari atau Khamis lalu kira-kira 4.30 petang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam video yang tular itu, pemandu yang merakam kejadian berkenaan menerusi kamera dashcam terkejut dengan kehadiran sebuah kereta dipandu laju secara menyongsang sebelum ke kiri lorong bagi mengelakkan rempuhan.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, suspek wanita itu ditahan bagi siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Katanya, ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda maksimum RM15,000 serta hilang kelayakan lesen memandu selama lima tahun.

"Polis Johor memandang serius terhadap kesalahan sebegitu dan tidak akan berkompromi serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang sengaja melanggar undang-undang.

"Polis mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat membantu pihak berkuasa," katanya.

Disiarkan pada: January 10, 2021 @ 2:27pm
d