mutakhir

Gusar dapur rumah runtuh [METROTV]

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Lapan beranak gusar memikirkan masa depan mereka apabila bahagian dapur rumahnya yang didiami sejak 40 tahun lalu ranap dalam kejadian runtuhan tanah serta hakisan sungai.

Rosmah Deraman, 48, berkata, ketika kejadian kira-kira 7 petang semalam, dua anaknya Nik Mohd Amirul Aiman Nik Lah, 15, dan Nik Siti Nurhidayah, 27, serta dua cucunya berusia tiga dan enam tahun berada di ruang tamu rumah sebelum terdengar bunyi dentuman.

"Pada petang semalam, saya tidak berada di rumah kerana keluar membeli tiket untuk anak yang tinggal di Kuala Lumpur dan tidak beberapa lama selepas itu, Nik Mohd Amirul Aiman menghubungi saya dan beritahu bahagian dapur runtuh selepas empat tiangnya tercabut.

"Nik Mohd Amirul memberitahu ketika kejadian, lantai ruang dapur secara tiba-tiba menggelongsor," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Surau Kota di sini, hari ini.

Menurutnya, dia bimbang berlaku perkara yang tidak diingini segera menyuruh mereka keluar rumah sementara menunggunya pulang.

Katanya, dia juga sudah menjangkakan kejadian itu akan berlaku kerana rumah yang didiami hanya terletak kira-kira 0.3 meter dari sungai.

"Hakisan sungai sudah berlaku sejak enam tahun lalu, namun sejak dua tahun kebelakangan ini, ia mula terhakis sedikit demi sedikit setiap kali berlakunya banjir.

"Arus air sungai deras yang terletak di bahagian belakang rumah juga menyebabkan kami sekeluarga tidak dapat tidur lena," katanya.

Ibu kepada enam anak berusia antara lapan hingga 29 tahun itu berkata, mereka sekeluarga terpaksa berpindah ke rumah sewa kosong milik seorang penduduk.

"Sebelum ini, ada penduduk yang menyarankan supaya kami sekeluarga berpindah ke rumah lain, namun pada ketika itu saya berasakan rumah yang didiami masih selamat dan pada masa sama, kami juga tidak mampu.

"Bagaimanapun, selepas kejadian malam tadi, mujurlah seorang penduduk yang bermurah hati menawarkan untuk menumpang rumah kosong miliknya kerana bimbang keselamatan anak serta cucu yang masih kecil.

"Pada masa sama, saya juga menghidap penyakit tiroid dan asma," katanya.

Menurutnya, bagi meneruskan kelangsungan hidup, dia hanya menjual surat khabar di Wakaf Che Yeh dengan pendapatan RM20 sehari.

Katanya, suami pula, Nik Lah Su, 49, hanya mengambil upah memotong pokok dan pendapatan diperoleh antara RM400 hingga RM500 sebulan dan pada masa sama perlu menampung dua lagi anak yang masih bersekolah.

"Anak-anak yang lain pula hanya bekerja kampung dan pada masa mereka juga mempunyai keluarga yang perlu ditanggung. Jika boleh saya tidak mahu menyusahkan mereka kerana memahami kesukaran hidup anak-anak," katanya.

Rosmah berkata, dia memohon agar ada pihak yang dapat membantu untuk mendapatkan rumah kerana dengan pendapatan dan kedaifan keluarga menyebabkan dia tidak mampu untuk membayar sewa rumah.

Disiarkan pada: January 10, 2021 @ 3:14pm
d