mutakhir

Kongsi ilmu pertanian, penternakan di media sosial [METROTV]

Oleh Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Jika individu lain cenderung memuat naik perkongsian berkaitan tip memasak atau solekan, lain pula bagi K. Thines yang aktif berkongsi ilmu pertanian dengan pengikutnya di laman sosial.

Bermula sebagai Youtuber pada Julai 2019, K. Thines, 20, cuba mengumpul pengikut di TikTok pula tahun lalu dengan aktif memuat naik video di platform berkenaan.

Percubaannya berhasil apabila dapat mengumpul 24,800 pengikut di TikTok dengan salah satu video dimuat naiknya berkaitan ikan Pacu meraih 904,000 tontonan sehingga kini.

Bercerita lanjut, K. Thines yang juga penuntut Diploma Agroindustri Ternakan Poltri Kolej Vokasional (Pertanian) Teluk Intan, Perak berkata, niatnya memuat naik video di Youtube dan Tiktok adalah untuk berkongsi pengetahuan dalam bidang pertanian serta berkaitan dengannya.

"Ayah saya seorang pemandu traktor yang mempunyai kolam ikan dan ladang kelapa sawit. Dulu, saya selalu mengikut ayah ke kolam untuk memancing dan dua tahun lalu, ayah dapat membina ladang ternakan ayam.

"Pendedahan awal itu menyebabkan timbulnya minat hingga mendorong saya menyambung pengajian di kolej vokasional dan kini, saya mahu berkongsi ilmu yang ada dengan pengikut bagi menarik minat mereka terhadap pertanian serta cabang berkaitan," katanya ketika ditemui di Lobi The News Straits Times Press (NSTP) Bangsar di sini.

K. Thines berkata, antara video terawal dimuat naiknya di Youtube adalah berkaitan cara ternakan ayam menggunakan inkubator.

"Video di Youtube dimuat naik pula Tiktok pula selepas aktif di platform itu. Awalnya, rakaman dan lagu selingan dalam video dimuat naik dalam bahasa Tamil.

"Namun, saya ubah pendekatan dengan rakam video dan bertutur dalam bahasa Melayu. Tanpa disangka, video itu menarik minat ramai warganet hingga meraih tontonan tinggi dan mengumpul 20,000 pengikut dalam masa beberapa jam saja," katanya yang menetap di Taman Elok Air Kuning, Tapah, Perak.

Lebih mengharukan apabila ada yang memuji kefasihannya berbahasa Melayu dalam video berkenaan.

"Banyak komen diterima ketika itu hingga saya tidak dapat membalasnya dan paling seronok apabila pengikut menunjukkan minat mengetahui lebih lanjut mengenai sesuatu perkongsian misalnya berkaitan ikan Pacu.

"Maklum balas positif itu memberi semangat untuk merakam dan memuat naik lebih banyak video menarik.

"Buat masa ini, saya manfaatkan masa lapang untuk melakukan rakaman dengan bantuan seorang rakan dan suntingan," katanya.

Selain menghabiskan pengajian diploma, K.Thines bercadang mempelbagaikan kandungan video di Youtube dan TikTok.

Di samping itu, dia berhasrat menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang ternakan ayam dan ikan.

"Perancangan saya adalah membuat lebih banyak kandungan video pada tahun ini. Niat saya menjadi Youtuber dan aktif di TikTok bukan untuk menjadi terkenal tetapi meningkatkan lagi pengetahuan selain mengembangkan bidang pertanian.

"Ini kerana di Malaysia, bidang itu dilihat semakin berkembang khususnya ternakan ayam kerana ia makanan harian jadi permintaan sentiasa," katanya.

Disiarkan pada: January 10, 2021 @ 5:22pm
d