mutakhir

Pertama kali banjir cecah paras bumbung [METROTV]

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kuala Krai: "Sejak 13 tahun berpindah ke sini, kali pertama rumah saya dinaiki air sehingga paras bumbung," kata mangsa banjir, Arni Nonchi, 46, dari Kampung Guchil 4 di sini.

Menurut Arni yang berasal dari Sandakan, Sabah, air pada mulanya naik ke paras 0.5 meter pada Rabu lalu, bagaimanapun pada malamnya, air memasuki ke dalam rumah secara mendadak hingga mencecah paras 1.5 meter menyebabkan dia tidak sempat menyelamatkan barangan dan peralatan.

"Beberapa hari sebelum itu, saya sudah mengambil langkah berjaga-jaga dengan menyimpan kesemua dokumen penting untuk diletakkan di rumah ibu mentua, Samsiah Mat Yaman, 58, yang terletak berdekatan, namun tidak menyangka rumahnya turut dinaiki air.

"Selepas melihat paras air naik mendadak dan bimbang berlaku perkara di luar jangkaan, pada jam 9 malam Rabu lalu, saya bersama anak serta mentua berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Bangol Guchil.

"Bagaimanapun, selepas hampir lima hari berada di PPS, saya pulang ke rumah pada 8 pagi tadi dan terkejut melihat hampir keseluruhan rumah disaluti dengan lumpur dan banyak perabot serta peralatan elektrik yang rosak kerana ditenggelami banjir.

"Memang sedih tengok semua barang rosak dan tidak boleh digunakan, namun selepas rumah dicuci, masih ada sesetengah barang yang boleh digunakan dan tidak mengalami kerosakan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil Hilmi Abdullah melawat beberapa penduduk di kawasan sekitar yang terjejas banjir dan pada masa sama mengagihkan sumbangan makanan asas untuk meringankan beban mereka.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Shaari Che Wil, 56, berkata, banjir gelombang ketiga yang berlaku pada minggu lalu menyebabkan rumahnya ditenggelami air melebihi paras empat meter.

"Pada malam Rabu lalu, air naik dengan cepat dan hanya saya bersama isteri, Norosliza Ariffin, 48, dan dua anak yang berusia tujuh dan 14 tahun yang berada di rumah dan pada ketika itu.

"Bimbang keselamatan keluarga, saya hanya sempat menyelamatkan sebuah kenderaan sahaja, manakala van yang digunakan untuk mengangkut barangan runcit pula tidak sempat diselamatkan berikutan air naik terlalu cepat.

"Saya menganggarkan kerugian yang dialami akibat bencana pada kali ini adalah lebih RM25,000 termasuk barang jualan serta peralatan yang berada di dalam kedai runcit," katanya.

Menurutnya, ketika banjir sebelum ini dia sempat mematikan suis utama elektrik sebelum berpindah ke PPS, namun pada kali ini tidak dapat berbuat demikian kerana keadaan keelam-kabut selepas air mula naik dengan cepat.

"Namun mujurlah, tidak ada kejadian yang tidak diingingi berlaku," katanya.

Disiarkan pada: January 10, 2021 @ 6:25pm
d