mutakhir

Terbakar atau dibakar?

Oleh Ruwaida Md Zain

Kuala Langat: Sebuah gereja di Morib di sini, 80 peratus terbakar dalam kebakaran yang dilaporkan berlaku malam ini.

Malah sebelum kebakaran itu, pihak gereja mendakwa premis berkenaan dimasuki pencuri yang dikatakan melarikan kabel elektrik.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyemalat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor berkata, bomba tiba ke lokasi kejadian di Banting Mar Thoma Syrian Church pada 7.45 malam, sebaik menerima panggilan dari orang awam mengenai kejadian itu.

"Siasatan awal mendapati kebakaran membabitkan sebuah gereja jenis bangunan kelas A dan bomba berjaya mengawal kebakaran itu. Tiada mangsa terbabit kerana ketika kejadian gereja sudah ditutup.

"Individu terakhir meninggalkan gereja adalah penjaga bangunan pada 7 malam. Dia bersama polis kerana ada kes kecurian kabel elektrik di gereja itu sebelum berlaku kebakaran," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman ketika dihubungi mengesahkan kedua-duanya kejadian itu.

"Menurut kenyataan awal pihak gereja, terdapat kecurian kabel elektrik di gereja berkenaan sebelum kebakaran berlaku.

"Siasatan lanjut akan dibuat selepas pihak bomba selesai menyiasat punca sebenar kebakaran," katanya.

Ditanya sama ada individu sama yang membakar dan mencuri kabel elektrik itu katanya, siasatan polis masih berjalan dengan bantuan pasukan forensik bomba.

"Polis sedang menunggu pihak forensik bomba siasat punca sebenar kebakaran. Apa pun kita akan siasat dari sudut maklumat awal oleh pihak gereja yang mengatakan ada berlaku kecurian kabel eletrik sebelum kebakaran," katanya.

Disiarkan pada: January 10, 2021 @ 11:22pm
d