mutakhir

Mangsa banjir di Johor meningkat

Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Jumlah mangsa banjir di Johor meningkat mendadak kepada 3,145 orang membabitkan 904 keluarga yang ditempatkan di 38 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah, setakat 7.30 pagi hari ini.

Ia berbanding seramai 1,251 orang daripada 382 keluarga yang ditempatkan di 27 pusat pemindahan PPS, petang semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R Vidyananthan berkata, lima daerah kini terjejas banjir gelombang kedua iaitu Kota Tinggi, Johor Bahru, Segamat, Mersing dan Kulai.

Beliau berkata, Kota Tinggi adalah daerah paling terjejas dengan mangsa banjir melonjak kepada 1,848 orang daripada 492 keluarga di 20 PPS.

"Johor Bahru pula mencatatkan 1,057 mangsa banjir daripada 347 keluarga di 11 PPS.

"Segamat merekodkan 94 mangsa membabitkan 26 keluarga di tiga PPS manakala Kulai dengan 94 mangsa banjir daripada 24 keluarga di tiga PPS.

"Mersing menyaksikan 52 mangsa banjir daripada 15 keluarga ditempatkan di sebuah PPS," katanya.

Vidyananthan berkata, air banjir di Kota Tinggi mulai surut sedikit berikutan hujan lebat berhenti sejak malam tadi.

Beliau berkata, pemantauan berterusan dan langkah berjaga-jaga tetap diambil berikutan cuaca masih mendung dan tidak menentu boleh menyebabkan paras air banjir meningkat semula sekiranya hujan lebat nanti.

Sementara itu, 10 laluan di tiga daerah ditutup setakat ini dengan tiga jalan berkenaan ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan.

Jalan yang ditutup sepenuhnya akibat banjir adalah Jalan Haji Suhud, Taman Muhibbah, di Johor Bahru, Jalan Tanah Abang, di Mersing dan Jalan Felda Semenchu, berhampiran Simpang Semenchu di Kota Tinggi.

Tujuh lagi laluan ditutup kepada kenderaan ringan di Kota Tinggi akibat dinaiki air iaitu Jalan Kota Tinggi-Mersing di LGM, Jalan Kota Tinggi-Kluang di Batu 25, Jalan Kampung Lukut Cina-Kampung Batu 4 di Taman Aman selain dua laluan Jalan Tai Hong di Taman Scientex serta Orkid, Jalan Sungai Telor dan Jalan Mawai Lama.

Disiarkan pada: January 11, 2021 @ 9:24am
d