mutakhir

Kera gigit bayi ditembak mati

Oleh Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Kera jantan yang menggigit bayi di Kampung Manggis, Sungai Puyu, kelmarin ditembak mati dalam operasi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, polis mengajukan laporan yang dibuat bapa bayi berkenaan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan selanjutnya.

"Susulan itu, polis bersama pihak Perhilitan turun ke lokasi kejadian dan menembak mati seekor kera jantan yang menggigit bayi berkenaan pada 11.30 pagi tadi.

"Ketika itu, kera berkenaan berada di atas pokok di dalam kawasan belukar dalam jarak 30 meter dari rumah mangsa," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 2 petang kelmarin, bayi lelaki berusia dua bulan cedera di badan dan kepala apabila dia digigit sebelum diseret satu meter oleh kera jantan.

Pada ketika itu, bayi berkenaan ditinggalkan berseorangan di atas tilam di ruang tamu sementara ibunya ke dapur untuk membuat susu.

Bayi lelaki itu kini menerima rawatan di wad kanak-kanak HPP selepas selesai menjalani pembedahan kecil dan dilaporkan stabil.

Berita berkaitan:

  • Bayi dua bulan parah digigit kera
  • Disiarkan pada: January 11, 2021 @ 1:24pm
    d