mutakhir

Mangsa banjir di Johor naik lagi

Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Jumlah mangsa banjir di negeri ini terus meningkat kepada 3,283 orang membabitkan 909 keluarga yang ditempatkan di 40 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah, setakat tengah hari ini.

Ia berbanding seramai 3,145 orang membabitkan 904 keluarga yang ditempatkan di 38 PPS, pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R Vidyananthan, berkata lima daerah negeri ini kekal terjejas banjir gelombang kedua di negeri ini iaitu Kota Tinggi, Johor Bahru, Segamat, Mersing dan Kulai.

Katanya, Kota Tinggi adalah daerah paling terjejas dengan mangsa banjir naik kepada 1,907 orang daripada 509 keluarga di 21 PPS tengah hari ini berbanding hanya 1,848 orang daripada 492 keluarga, pagi tadi.

"Johor Bahru juga mencatatkan kenaikan mangsa banjir kepada seramai 1,126 orang daripada 332 keluarga di 13 PPS tengah hari ini, berbanding hanya 1,057 orang mangsa banjir daripada 347 keluarga, pagi tadi.

"Segamat kekal seramai 94 orang mangsa membabitkan 26 keluarga di tiga PPS manakala Kulai pula meningkat dengan 104 mangsa daripada 27 keluarga di dua PPS tengah hari ini berbanding seramai 94 mangsa banjir daripada 24 keluarga, pagi tadi.

"Mersing juga kekal dengan sebanyak 52 orang mangsa banjir daripada 15 keluarga ditempatkan di sebuah PPS," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran cuaca peringkat kuning iaitu hujan lebat dijangka di Kota Tinggi, Johor Bahru, Kulai, Pontian, Mersing, Kluang dan Segamat, tengah hari ini.

Mengulas lanjut, Vidyananthan berkata, penduduk di kawasan terjejas banjir diminta sentiasa berwaspada berikutan cuaca masih dalam keadaan tidak menentu.

"Patuhi arahan pihak berkuasa yang mengarahkan berpindah ke PPS atau pun tidak melalui laluan ditutup sebagai langkah keselamatan, " katanya.

Disiarkan pada: January 11, 2021 @ 1:50pm
d