mutakhir

Paras Sungai Johor meningkat [METROTV]

Oleh Mohamed Farid Noh

Kota Tinggi: Sungai Johor di sini, naik ke paras 2.35 meter iaitu kurang 0.15 meter dari paras amaran, tengah hari ini.

Ia sekali gus meningkatkan kebimbangan air sungai berkenaan akan melimpah semula ke pusat bandar Kota Tinggi ketika cuaca mulai hujan semula sejak tengah ini.

Tinjauan di Jalan Sungai Kemang mendapati air sungai yang melimpah semalam masih belum surut sepenuhnya.

Banjir setinggi antara 0.2 hingga 0.5 meter masih menenggelamkan beberapa kawasan termasuk kawasan premis termasuk sebuah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di situ.

Beberapa petugas Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) turut dilihat mula menutup laluan bersebelahan Sungai Johor termasuk jalan pintas di bawah Jambatan Kota Tinggi berikutan paras air Sungai Johor yang dijangka melimpah semula.

Air turut dilihat masih memenuhi beberapa laluan di pusat bandar terutama di Arked MARA dan menara jam Kota Tinggi.

Sementara itu, seorang penduduk, Norasmah Abdullah, 35, berkata belum seminggu SJKC Pei Hwa tenggelam akibat banjir minggu lalu, kejadian sama berulang sejak semalam.

"Setiap hari saya datang ke sekolah ini bagi kerja pembersihan namun semalam ia mulai dinaiki air semula.

"Antara terjejas adalah bilik darjah di bahagian bawah selain kantin dan dewan terbuka," katanya ketika ditemui.

Disiarkan pada: January 11, 2021 @ 2:05pm
d