mutakhir

Kilometer 1, Jalan Buli Sim Sim ditutup sementara kerana tanah runtuh

Oleh BERNAMA

Sandakan: Hujan lebat sejak awal pagi tadi menyebabkan Kilometer 1, Jalan Buli Sim Sim di sini, ditutup akibat tanah runtuh.

Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan dalam kenyataan hari ini berkata, kejadian kira-kira 10.45 pagi itu tanah runtuh dari bukit berdekatan bagaimanapun tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa dan kerosakan harta benda.

"Jalan itu ditutup sepenuhnya ketika ini untuk kerja-kerja pembersihan dan penilaian bagi tujuan pembaikan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Pihak polis terus mengadakan kawalan dan pemantauan di tempat kejadian bersama JKR bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sandakan berkata, tiga kawasan di daerah ini dalam pemantauan berikutan hujan berterusan sejak kira-kira 5 pagi tadi.

Kawasan terbabit ialah Batu 7, Jalan Buli Sim-Sim dan kawasan di sekitar Sekolah Kebangsaan Sungai Anib di sini.

APM Sandakan turut memberitahu belum ada keperluan pusat pemindahan sementara dibuka, namun APM bersama agensi berkaitan sentiasa bersiap sedia untuk menghulurkan bantuan.

Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran hujan lebat tahap waspada hari ini sehingga esok bagi daerah Sandakan.

Disiarkan pada: January 11, 2021 @ 4:15pm
d